LOS ANGELES, 20 Oktober - Sebuah video yang memaparkan krisis gelandangan di California yang dikongsi aktres dan aktivis politik Hollywood Susan Sarandon menerima lebih 8,000 balasan di Twitter pada Rabu, lapor Xinhua
Sarandon, 76, penerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Akademi, menyiarkan semula video aktivis gelandangan Thomas Wolf yang menunjukkan jalan-jalan di Oakland yang dipenuhi khemah dan sampah gelandangan.
Dalam tempoh dua hari selepas Sarandon berkongsi video itu, berpuluh-puluh ribu pengguna Twitter berkongsi tweet itu semula atau membalas dengan menyiarkan lebih banyak video yang memberi fokus pada perkhemahan gelandangan di kebanyakan bandar di AS seperti Oakland dan Los Angeles.
Hos TV Benny Johnson yang menyiarkan rakaman video serupa di Los Angeles, bandar kedua paling ramai penduduk di AS, berkata: "Saya baru sahaja memandu melalui pusat bandar L.A. Apa yang saya lihat mengejutkan. Keadaan seperti dunia ke-3 di 'setiap' blok. Bandar raya khemah. Kotor. Dadah. Orang mencari makan dan tinggal di tempat pembuangan sampah. Kepincangan hidup di mana-mana sahaja."
(Susan Sarandon/ FOTO REUTERS)
Laporan oleh Pihak Berkuasa Perkhidmatan Gelandangan Los Angeles bulan lepas menunjukkan 69,144 orang dianggarkan hilang tempat tinggal di Los Angeles County - peningkatan 4.1 peratus daripada 2020.
Sebagai aktivis sosial dan politik berhaluan kiri, Sarandon telah lama lantang bersuara tentang gelandangan. Pada 2015, beliau membuat dokumentari Storied Streets menumpukan pada krisis gelandangan di negara itu.
Dalam temu bual yang disiarkan di Youtube, Sarandon berkata idea bahawa gelandangan itu semuanya terdiri daripada penagih dadah adalah salah sama sekali.
"Punca utama kehilangan tempat tinggal disebabkan kurangnya rumah mampu milik, gaji yang tidak mencukupi, ketiadaan penjagaan kesihatan, keganasan rumah tangga, kepulangan veteran selain isu kesihatan mental. Jika sudah hidup di jalanan selama setahun setengah, ini merupakan isu yang benar-benar serius," kata aktres itu. - BERNAMA