HEFEI, 6 September – China mendedahkan pelan komprehensif pertama sistem pertahanan asteroid berhampiran Bumi pada Persidangan Penerokaan Angkasa Jauh Antarabangsa Ketiga yang berlangsung di Hefei, Anhui.
Ketua pereka program penerokaan bulan China, Wu Weiren berkata konsep strategik yang dikemukakan dalam kerangka Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Angkasa Lepas Secara Aman (COPUOS) itu meliputi pemantauan, amaran awal, pengendalian di orbit serta tindak balas sistematik.
Misi berkenaan akan menggunakan model “terbang seiring–hentaman–terbang seiring,” melibatkan kapal angkasa pemerhati dan penghempas.
Kapal pemerhati akan mengumpul data asteroid terlebih dahulu, sebelum kapal penghempas melanggar sasaran pada kelajuan tinggi bagi mengubah orbitnya.
Wu menjelaskan, penghempas kinetik itu akan dilancarkan bagi bertembung dengan jasad kecil yang menghampiri Bumi pada jarak sekitar 10 juta kilometer, sekali gus mengelak perlanggaran dengan planet ini untuk tempoh beberapa dekad atau sehingga 100 tahun.
Persidangan tersebut yang menghimpunkan lebih 400 pakar dari 40 negara dan wilayah memberi tumpuan kepada penerokaan, pertahanan serta penggunaan sumber asteroid.
Asteroid berhampiran Bumi dianggap antara ancaman terbesar dalam sistem suria, dengan kejadian 66 juta tahun lalu dipercayai menjadi punca kepupusan dinosaur serta 75 peratus spesies global. -REUTERS