BEIJING, 18 April- China menentang sekeras-kerasnya perancangan Taiwan untuk membeli 400 peluru berpandu Harpoon dari Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata, negara tembok besar itu akan mengambil langkah tegas untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan keselamatannya.
"Kami menggesa hubungan ketenteraan AS-Taiwan dihentikan termasuk penjualan senjata kepada Taiwan.
Berhenti mewujudkan ketegangan di Selat Taiwan, berhenti mengubah status quo di Selat Taiwan dan berhenti melangkah lebih jauh ke jalan yang salah dalam pakatan sulit AS-Taiwan," katanya.
(Wang Wenbin, Jurucakap Kementerian Luar China / Foto REUTERS)
Menurut Bloomberg News, Taiwan dijangka membuat pembelian itu sebagai persiapan menghadapi ancaman yang semakin meningkat dari China.
Pada 7 April lalu, Pentagon mengumumkan kontrak bernilai $1.17 bilion untuk pembelian 400 peluru berpandu anti-kapal tanpa menamakan pembeli dan pengeluarannya dijangka siap menjelang Mac 2029.
Bagaimanapun Bloomberg mendakwa Taiwan adalah pembeli.
Bulan ini, Speaker Dewan AS, Kevin McCarthy menjadi tuan rumah kepada Presiden Taiwan Tsai Ing-wen di California dan menekankan keperluan untuk mempercepatkan penghantaran senjata ke Taiwan dalam menghadapi ancaman yang semakin meningkat dari China.
Selepas pertemuan itu, Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Mengenai Parti Komunis China, Mike Gallagher berkata, beliau ingin mencari jalan untuk membawa peluru berpandu Harpoon ke Taiwan lebih awal daripada yang dijadualkan ke Arab Saudi.-REUTERS