fb fb fb fb fb

China siar kelas angkasa ketiga secara langsung esok

CHINA, 11 Oktober- China akan membuat siaran langsung kelas angkasa ketiga pada Rabu ini di stesen angkasanya, Tiangong.

Agensi Angkasa Lepas China berkata, kelas tersebut akan bermula pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.

Kelas tersebut akan disampaikan oleh tiga anak kapal Shenzhou-14 iaitu Chen Dong, Liu Yang dan Cai Xuzhe kepada pelajar di Bumi.

Trio itu akan menjalankan kelas tersebut dalam keadaan mikrograviti termasuk membuat eksperimen tindakan kapilari dan pertumbuhan tumbuhan di angkasa.

"Apabila kami memilih eksperimen untuk dijalankan di stesen angkasa, kami akan mengambil kira perkara berikut. Pertama, fenomena eksperimen di angkasa mestilah berbeza dengan yang berlaku di Bumi. Kedua, prinsip saintifik mesti jelas kepada pelajar.

Ketiga, keseluruhan kelas harus mempunyai kesan visual yang hebat dan mudah disebarkan untuk mempopularkan sains yang sebenar," kata Shi Yusheng, jurulatih angkasawan di Pusat Penyelidikan dan Latihan Angkasawan China.

(Beberapa krew Shenzou-14 di stesen angkasa Tiangong / Foto REUTERS)

Tambah Yusheng, terdapat lebih banyak inovasi dalam kelas kali ini.

Pembelajaran akan menekankan mengenai modul makmal Wentian yang baharu sepenuhnya.

"Ia merupakan usaha untuk merangsang pemikiran kritis pelajar tentang fenomena harian.

Pada masa yang sama, buat pertama kalinya kami akan membentangkan operasi eksperimen saintifik program penyelidikan tumbuhan di stesen angkasa untuk menunjukkan lagi keupayaan penyelidikan di makmal angkasa di stesen angkasa negara kita," kata Yusheng lagi.

Pada 9 Disember 2021, trio Shenzhou-13 menyampaikan syarahan secara langsung pertama dari stesen angkasa China.

Mereka menunjukkan kepada pelajar di Bumi tempat tinggal dan kawasan kerja mereka di modul teras Tianhe dan beberapa eksperimen saintifik dalam keadaan graviti sifar.

Manakala 'Kelas Tiangong' kedua telah dijalankan pada Mac lalu.

Krew Shenzhou-14 telah berada di angkasa sejak 5 Jun lalu untuk misi selama enam bulan.-REUTERS

Media Baharu