BEIJING, 3 September – Dron bawah air, peluru berpandu gergasi dan senjata laser menjadi tumpuan pada Rabu ketika China mengadakan perarakan ketenteraan besar-besaran di Beijing, sebagai simbol kekuatan negara itu ketika ketegangan dengan Washington terus memuncak.
Pemerhati ketenteraan memberi tumpuan terhadap acara tersebut yang turut dihadiri beberapa pemimpin asing utama termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Dalam ucapan sebelum perarakan bagi memperingati 80 tahun kemenangan China ke atas Jepun semasa Perang Dunia Kedua, Presiden Xi Jinping menyifatkan negaranya sebagai "tidak dapat dihalang".
Pelbagai aset ketenteraan terkini negara itu kemudian melalui Dataran Tiananmen sambil disambut sorakan orang ramai dan iringan muzik bersemangat.
Kepala peledak balistik dipertontonkan di Dataran Tianmen sempena memperingati 80 tahun kemenangan China ke atas Jepun semasa Perang Dunia Kedua/ AFP
Peluru Berpandu Antara Benua (ICBM)
Antara yang menjadi perhatian adalah pendedahan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) DF-5C, yang dipamerkan di atas trak tentera besar.
Senjata nuklear bahan api cecair itu adalah sebahagian daripada siri peluru berpandu 'Dongfeng'. Menurut tabloid nasionalis Global Times, DF-5C berupaya menyerang sasaran di mana-mana sahaja di dunia.
"Senjata ini sentiasa bersiap siaga untuk menghalang peperangan melalui kekuatan dan membantu menstabilkan dunia," menurut laporan itu.
Kenderaan bawah air tanpa pemandu HSU100/ AFP
Dron Bawah Air
Perarakan itu turut menampilkan dua kenderaan bawah air tanpa pemandu bersaiz besar berbentuk torpedo iaitu AJX002 dan HSU100, yang dibawa menggunakan trak panjang.
Menurut penganalisis pertahanan Alex Luck, AJX002 dipercayai direka untuk pengintipan, manakala HSU100 berperanan sebagai platform pemasangan periuk api tanpa kru.
China memiliki program kenderaan bawah air tanpa pemandu bersaiz besar (XLUUV) terbesar di dunia dengan sekurang-kurangnya lima jenis sudah diuji di laut.

Peluru berpandu jelajah antikapal supersonik berkuasa ramjet YJ-15/ AFP
Peluru Berpandu Supersonik
Turut dipamerkan empat peluru berpandu anti-kapal baharu iaitu YJ-15, YJ-17, YJ-19 dan YJ-20. 'YJ' adalah singkatan bagi 'Ying Ji' yang bermaksud 'serangan helang' dalam bahasa Cina.
Peluru berpandu itu boleh dilancarkan dari kapal atau pesawat dan direka untuk memberi kerosakan besar kepada kapal bersaiz besar. Model YJ-17, YJ-19 dan YJ-20 dipercayai berkeupayaan hipersonik, iaitu mampu terbang sekurang-kurangnya lima kali ganda kelajuan bunyi.

Senjata laser milik China dipertontonkan di Dataran Tianmen sempena memperingati 80 tahun kemenangan China ke atas Jepun semasa Perang Dunia Kedua/ AFP
Senjata Laser
Senjata berasaskan laser yang diuar-uarkan sebagai "sistem pertahanan udara laser paling berkuasa di dunia" turut menjadi tumpuan sebelum perarakan.
Beberapa unit LY-1, iaitu peranti besar berwarna putih dengan paparan skrin biru, dipamerkan di atas trak tentera.
Menurut Luck, konfigurasi itu pertama kali dilihat sekitar Ogos tahun lalu namun tanpa imej jelas. LY-1 dipercayai dalam ujian lanjutan dan sesuai digunakan di kapal perang.
Senjata tenaga terarah itu turut dibangunkan Amerika Syarikat, dengan keupayaan menghasilkan kerosakan ketara pada kos per tembakan yang rendah.

Aset udara tanpa pemandu dipertontonkan di Dataran Tianmen sempena memperingati 80 tahun kemenangan China ke atas Jepun semasa Perang Dunia Kedua/ AFP
Kenderaan Tanpa Pemandu
Selain dron bawah air, beberapa kenderaan tanpa pemandu lain turut dipamerkan, termasuk bot permukaan yang digunakan dalam operasi ketenteraan maritim.
Bot ini boleh dikendalikan dengan kru atau tanpa kru untuk keluar masuk pelabuhan dan dipercayai direka bagi peperangan periuk api, khususnya pembersihan periuk api.
Turut dipamerkan adalah pesawat tanpa pemandu serta kenderaan darat tanpa pemandu untuk misi pemindahan, pengangkutan bekalan dan pengintipan.
Radar dan Pesawat Amaran Awal
Teknologi radar amaran awal menjadi sebahagian besar pameran dengan beberapa peranti pengesan bersaiz besar dipamerkan.
Di udara, pesawat dilengkapi radar melintasi ruang perarakan, menonjolkan keupayaan pengawasan China.
Menurut laporan China Daily, buat pertama kali, pesawat amaran awal KJ-600 dipamerkan kepada umum. Pesawat itu direka untuk kegunaan di kapal pengangkut pesawat dan dijangka beroperasi di kapal Fujian dalam beberapa bulan akan datang.- AFP