KIEV, 3 September – Pasukan Rusia melancarkan lebih 500 dron dan peluru berpandu ke arah Ukraine dalam satu serangan berskala besar yang menyasarkan bahagian barat negara itu, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
Menurut pegawai Ukraine, beberapa letupan bergema di ibu negara dan sistem pertahanan udara menangkis dron Rusia ketika serangan dilancarkan. Serangan itu berlaku ketika lawatan Presiden Vladimir Putin ke China.
Serangan berterusan itu berlaku ketika Setiausaha Pertahanan United Kingdom, John Healey, tiba di Ukraine bagi mengadakan perbincangan mengenai kerjasama keselamatan.
Ketua wilayah utara Chernigiv, Vyacheslav Chaus, berkata serangan dron terhadap 'infrastruktur awam' menyebabkan 30,000 penduduk terputus bekalan elektrik.
Tentera udara Ukraine memaklumkan Moscow melepaskan 502 dron dan 24 peluru berpandu, manakala pegawai wilayah di barat negara itu melaporkan beberapa individu cedera, selain rumah kediaman dan infrastruktur awam mengalami kerosakan.
"Tiga peluru berpandu dan 69 dron serangan mengenai 14 lokasi, manakala serpihan daripada projektil yang ditembak jatuh jatuh di 14 lokasi lain," menurut kenyataan tentera udara itu.
Pegawai di wilayah Kirovograd pula memaklumkan empat pekerja kereta api cedera dalam serangan tersebut dan lebih 10 bangunan kediaman turut rosak.- AFP