fb fb fb fb fb

China namakan bekas Ketua Tentera Laut sebagai Menteri Pertahanan baharu

Dong Jun mengisi kekosongan susulan penyingkiran mengejut penyandang jawatan itu sebelum ini, Li Shangfu pada Oktober lalu./ REUTERS

BEIJING, 29 Disember- China hari ini menamakan bekas Komander Tentera Laut, Dong Jun sebagai Menteri Pertahanan baharunya, menurut media kerajaan.

Beliau mengisi kekosongan susulan penyingkiran mengejut penyandang jawatan itu sebelum ini, Li Shangfu pada Oktober lalu.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Dong dilantik pada mesyuarat jawatankuasa tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (CNPC).

Beijing tidak memberikan alasan rasmi terhadap keputusan menyingkirkan Li selepas tujuh bulan beliau memegang jawatan itu.

Pemecatan Li adalah salah satu siri penurunan pangkat membabitkan pegawai peringkat tertinggi dalam pertubuhan tentera negara itu.

Dalam pada itu, tiga eksekutif di firma pertahanan peluru berpandu terkemuka China turut disingkirkan daripada jawatankuasa penasihat politik tertinggi Beijing minggu ini.

Ia berlaku sejak Presiden Xi Jinping menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai tema utama pemerintahannya, yang turut menyaksikan beberapa siri penyingkiran pegawai peringkat tinggi sebelum ini.

Beberapa bulan kebelakangan ini juga, menyaksikan rombakan dalam kepimpinan Pasukan Roket China, unit tentera yang menyelia senjata nuklear Beijing, berikutan laporan media mengenai siasatan rasuah membabitkan bekas ketuanya.

Tempat Dong sebagai Ketua Tentera Laut digantikan oleh Hu Zhongming awal bulan ini. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI