BEIJING, 22 Disember - Pencemaran udara di China bertambah buruk pada 2023, kali pertama ia berlaku dalam sedekad menerusi satu kajian yang dikeluarkan pada Jumaat.
"2023 adalah tahun pertama tahap purata PM2.5 negara China meningkat tahun ke tahun sejak permulaan 'perang terhadap pencemaran' China pada 2013," menurut kajian oleh organisasi penyelidikan bebas Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA).
Zarah PM2.5, jika dihidu, boleh mempunyai risiko kesihatan yang serius, dikaitkan dengan kematian pramatang pada mereka yang menghidapi penyakit jantung atau paru-paru, serta pelbagai masalah pernafasan dan kesihatan lain, menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (AS).
"Peningkatan keseluruhan dalam pelepasan yang disebabkan oleh manusia telah mendorong paras pencemaran lebih tinggi, selain keadaan cuaca yang tidak baik," kata CREA.
Konsortium Saintis Iklim Antarabangsa berkata awal bulan ini dalam kajian berasingan bahawa China dijangka menyaksikan peningkatan empat peratus pelepasan CO2 bahan api fosil tahun ini, dengan peningkatan dalam arang batu, minyak dan gas ketika negara itu terus pulih daripada COVID-19.
Bandar-bandar di China termasuk ibu kota Beijing suatu ketika dahulu terkenal dengan kabut tebal yang menyelubungi penduduk mereka, terutama pada musim sejuk.
Tetapi, negara itu meningkatkan kempen anti-pencemarannya selepas memenangi bidaan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 2015, menutup berpuluh-puluh loji arang batu dan memindahkan industri berat.
Itu telah membawa peningkatan yang ketara, namun kualiti udara selalunya kekal di bawah standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
CREA berkata 80 peratus ibu wilayah, termasuk Beijing, merekodkan peningkatan paras PM2.5 pada 2023 berbanding setahun lalu.
Gelombang pencemaran teruk melanda utara China pada akhir Oktober dan November, dengan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar.
Kepekatan zarah PM 2.5 di Beijing adalah lebih 20 kali lebih tinggi bahayanya daripada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam tempoh itu, menurut firma pemantauan kualiti udara IQAir.
China adalah pemancar gas rumah hijau terbesar di dunia yang mendorong perubahan iklim, seperti karbon dioksida.-AFP