BRUSSELS, 22 Disember - Seorang wanita maut dan dua yang lain cedera dalam kejadian sebatang pokok Krismas tumbang ketika ribut melanda bandar Oudenaarde di Belgium pada Khamis, kata pihak berkuasa hari ini.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan sebatang pokok Krismas setinggi 20 meter yang diterangi dengan cahaya lampu kelihatan condong perlahan-lahan sebelum tumbang di sebelah pasar yang menjual barangan Krismas.
Jurucakap pendakwa raya wilayah, Oost-Vlaanderen berkata mangsa adalah wanita berusia 63 tahun dari Oudenaarde sementara dua lagi wanita dari pekan yang sama cedera ringan dalam kejadian itu.
“Siasatan akan tertumpu kepada sama ada pokok itu telah ditanam dengan betul dan juga melihat kepada faktor cuaca,” katanya.
Ribut Pia, yang telah mengganggu sistem lalu lintas di United Kingdom dan Belanda pada Khamis, turut melanda barat Belgium dan perkhidmatan cuaca telah mengeluarkan amaran kod kuning untuk kawasan pesisir pantai.-REUTERS