fb fb fb fb fb

China bimbang pertempuran Pakistan-Afghanistan, seru dialog damai

Foto REUTERS

BEIJING, 13 Oktober – China menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran yang tercetus baru-baru ini antara Pakistan dan Afghanistan yang mengorbankan puluhan nyawa, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian.

Dalam sidang media berkala pada Isnin, Lin menyeru kedua-dua negara supaya mengutamakan kestabilan serantau dan mengekalkan sikap berhemah dalam menangani ketegangan yang berlaku.

“China amat berharap kedua-dua negara dapat mengambil kira kepentingan yang lebih besar, bertindak dengan penuh berhemah serta menyelesaikan kebimbangan masing-masing melalui dialog dan rundingan,” katanya.

Beliau turut menegaskan China bersedia untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh serta memajukan hubungan Pakistan-Afghanistan.

Pertempuran di kawasan sempadan itu dilaporkan bermula pada malam Sabtu (11 Oktober), menjadikannya konflik paling berdarah antara kedua-dua negara jiran itu sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul pada tahun 2021.

Menurut kenyataan tentera Pakistan, seramai 23 anggotanya terbunuh dalam pertempuran hujung minggu tersebut, manakala pihak Taliban memaklumkan sembilan pejuangnya turut terkorban. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN