BEIJING, 15 Ogos - China memulakan Sukan Robot Humanoid Dunia selama tiga hari pada Jumaat, dengan penyertaan 280 pasukan dari 16 negara bagi mempamerkan kemajuan negara itu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Acara yang berlangsung di Beijing itu menyaksikan robot bersaing dalam pelbagai sukan termasuk tinju, bola sepak dan acara olahraga, selain cabaran khusus robot seperti menyusun ubat-ubatan, mengendalikan bahan serta menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Sebanyak 192 pasukan mewakili institusi pengajian tinggi, manakala 88 lagi dari syarikat swasta termasuk Unitree dan Fourier Intelligence dari China.
Pasukan bertanding menggunakan robot keluaran syarikat tempatan seperti Booster Robotics.
“Kami datang bukan sahaja untuk bermain dan menang, tetapi juga untuk tujuan penyelidikan,” kata Max Polter, ahli pasukan bola sepak robot HTWK Robots dari Jerman yang bernaung di bawah Leipzig University of Applied Sciences.
China kini melabur berbilion dolar dalam pembangunan robot humanoid dan teknologi AI, sebagai usaha menangani isu penuaan penduduk serta persaingan dengan Amerika Syarikat dalam bidang teknologi termaju. -REUTERS