fb fb fb fb fb

Campak anak dari tingkat 15, sepasang kekasih dijatuhkan hukuman mati

Zhang disabitkan kesalahan mencampak dua anaknya dari tingkap pangsapuri tingkat 15/FOTO Weibo

BEIJING, 1 Februari - Sepasang kekasih dijatuhkan hukuman mati terhadap pertuduhan mencampak dua kanak-kanak dari tingkap sebuah bangunan pangsapuri, pada empat tahun lalu di barat daya China.

Mahkamah Perantaraan Rakyat No. 5 Chongqing menerusi kenyataan berkata, Zhang Bo dan Ye Chengchen didapati bersalah mengakibatkan kematian dua kanak-kanak terbabit.

Mangsa, seorang perempuan berusia dua tahun dan kanak-kanak lelaki berusia setahun dicampak dari tingkat 15 di menara kediaman di Chongqing.

Insiden itu telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat di negara itu.

Bo merupakan bapa kepada dua kanak-kanak itu didapati menjalinkan hubungan sulit dengan Chengchen.

Teman wanitanya itu pada mulanya tidak menyedari bahawa kekasihnya sudah pun berkahwin dan mempunyai anak.

Chengchen kemudian menggesa Bo membunuh dua anaknya yang dianggapnya sebagai 'penghalang' untuk mereka berkahwin.

Wanita itu menyifatkan kehadiran anak-anak itu akan memberi beban kepada kehidupan mereka bersama pada masa depan.

Pada November 2020, Bo mencampak keluar dua anaknya itu dari tingkap pangsapuri tanpa kehadiran ibu anak-anak tersebut yang mana si isteri juga mahu diceraikannya.

Menurut laporan China Daily, kedua-dua mereka didapati bersalah kerana didapati bersubahat membunuh anak perempuan dan anak lelakinya dengan menyebabkan mereka jatuh secara tidak sengaja dari tingkat 15 bangunan pangsapurinya.

Pasangan itu dijatuhi hukuman mati pada Disember 2021, sebelum hukuman itu dilaksanakan semalam.

Berita hukuman mati mengenai mereka menjadi topik hangat di laman media sosial China, Weibo sejak Rabu dan meraih hampir 200 juta tontotan.

Selain itu, pada hari yang sama, satu lagi hukuman mati berprofil tinggi dilakukan semalam.

Menurut kenyataan mahkamah di wilayah timur Fujian, Wu Xieyu, didapati bersalah membunuh ibunya dengan berulang kali memukul dengan dumbell pada 2015.

China merahsiakan data mengenai penggunaan hukuman mati, walaupun kumpulan hak asasi manusia Amnesty International menganggarkan, ribuan orang di negara itu dijatuhi hukuman mati setiap tahun.

Lazimnya, hukuman mati sering dijatuhkan bagi jenayah seperti pengedaran dadah, rasuah dan pembunuhan dan dilaksanakan menerusi kaedah suntikan maut. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN