CAMEROON, 22 Januari- Cameroon melancarkan program vaksin rutin pertama di dunia terhadap penyakit malaria bawaan nyamuk betina spesies Anopheles (tiruk) untuk menyelamatkan puluhan ribu nyawa kanak-kanak setiap tahun di seluruh Afrika.
Vaksin RTS,S diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertujuan memerangi malaria.
Vaksin tersebut dibangunkan oleh pembuat ubat British GSK mengambil masa sekitar 40 tahun.
Selepas percubaan berjaya di Ghana dan Kenya, Cameroon adalah negara pertama yang mentadbir dos melalui program imunisasi rutin menurut Perikatan Vaksin Global Gavi.
Kira-kira 6.6 juta kanak-kanak di negara-negara itu disasarkan untuk vaksinasi malaria menjelang 2024-2025.
"Sudah lama, kami telah menunggu hari seperti ini," kata Mohammed Abdulaziz dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika pada taklimat dalam talian bersama WHO, Gavi dan organisasi lain.
Usaha dalam memerangi malaria terganggu beberapa tahun ini disebabkan COVID-19. Menurut WHO ia mencetuskan kes malaria meningkat sekitar lima juta tahun ke tahun pada 2022.
Secara keseluruhannya, lebih 30 negara di benua itu menyatakan minat untuk memperkenalkan vaksin tersebut.
"Bekalan vaksin mencukupi dijangka akan dihasilkan untuk memenuhi permintaan tinggi dan menjangkau berjuta-juta lagi kanak-kanak," kata pengarah imunisasi WHO, Kate O'Brien dalam taklimat itu.
Vaksin R21 dibangunkan oleh Universiti Oxford dan boleh dilancarkan pada Mei atau Jun, kata Ketua Pegawai Program Gavi, Aurelia Nguyen.
Pakar kesihatan dalam taklimat itu berkata pelancaran itu disertai dengan jangkauan komuniti untuk memerangi keraguan vaksin dan menekankan kepentingan perlindungan dengan vaksin.- REUTERS