fb fb fb fb fb

Cacar monyet: Sepanyol mulakan vaksinasi ke atas kontak rapat

(Tabung uji berlabel "virus cacar monyet positif dan negatif", gambar diambil pada 23 Mei 2022/FOTO REUTERS)


MADRID, 10 Jun- Sepanyol akan mula memberi vaksin kepada kontak rapat kes cacar monyet selepas lebih 242 orang diuji positif virus itu sejak 19 Mei, kata Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Tambah kementerian itu, disebabkan kekurangan bekalan vaksin, hanya mereka yang pernah berhubung rapat atau mempunyai risiko besar menghidap penyakit serius boleh mendapatkan vaksin.

Kira-kira 200 vaksin Imvanex Bavarian Nordic tiba di Sepanyol pada Isnin dan kerajaan sedang menunggu untuk membeli lebih banyak di bawah skim pembelian vaksin EU.

Lebih 1,200 kes cacar monyet disahkan di sekitar 30 negara yang mana penyakit itu tidak endemik, kebanyakannya di Eropah.

Jumlah kes jangkitan di Sepanyol meningkat sebanyak sembilan kes pada Khamis.

(Imej mikroskopik elektron (EM) menunjukkan zarah virus monkeypox matang berbentuk bujur serta
bulan sabit dan zarah sfera virion tidak matang, yang diperoleh daripada sampel kulit manusia (klinikal)/FOTO REUTERS)


Sementara itu AFP melaporkan, Kementerian Kesihatan Brazil mengesahkan kes pertama cacar monyet membabitkan seorang lelaki berusia 41 tahun yang telah mengembara ke Eropah.

Cacar monyet adalah penyakit yang jarang berlaku secara amnya terhad kepada Afrika barat dan tengah. Ia berkaitan tetapi kurang teruk berbanding cacar, menyebabkan antaranya gejala ruam yang merebak, demam dan menggigil.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan hampir 1,000 kes penyakit itu di 29 negara di mana ia bukan endemik. Kebanyakannya dikesan di Britain, Kanada, Jerman, Portugal dan Sepanyol.

Orang Brazil pertama yang dijangkiti telah pergi ke Sepanyol dan Portugal, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.

Dia dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan berada dalam keadaan baik, katanya, sambil menambah kontak rapatnya sedang dalam pemerhatian.

Brazil ialah negara Amerika Latin ketiga yang merekodkan kes cacar monyet selepas Argentina dan Mexico.

Setakat ini, WHO berkata tiada kematian dilaporkan di negara di mana cacar monyet bukan endemik. -REUTERS

Berita berkaitan
Cacar Monyet : 59 kes dikesan di Sepanyol

 

 

Media Baharu