fb fb fb fb fb

Ketiadaan kamera pemantau, gagalkan rundingan nuklear - IAEA

VIENNA, 10 Jun- Badan pemerhati tenaga atom Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tindakan Iran mengeluarkan 27 kamera pengawasan di kemudahan nuklearnya boleh menggagalkan rundingan memulihkan perjanjian nuklear 2015.

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, berkata agensinya dimaklumkan bahawa 27 kamera dialihkan dengan kira-kira 40 kekal di lokasi.

"Ini sudah tentu menimbulkan cabaran serius kepada keupayaan kami untuk terus bekerja di sana.

"Jika penyelesaian tidak ditemui dalam tempoh tiga hingga empat minggu, ia perlu dibawa kepada rundingan," katanya.


(Ketua IAEA, Rafael Grossi menunjukkan kamera pengawasan pada sidang media di Vienna, Austria mengenai perkembangan kerja-kerja pemantauan dan verifikasi IAEA di Iran/ AFP)

Sebelum ini, rundingan untuk Iran kembali patuh kepada kuasa dunia terhadap komitmen nuklearnya berlangsung sejak April lalu, selain untuk mengembalikan Amerika Syarikat (AS) dalam perjanjian itu selepas bekas presiden, Donald Trump menarik diri pada 2018.

Bagaimanapun rundingan itu terhenti, sekali gus mencetuskan ketegangan sehinggakan satu resolusi dikemukakan oleh AS, Britain, Perancis dan Jerman yang mengecam Iran kerana gagal bekerjasama diluluskan IAEA. Iran kembali mengecam tindakan itu.

Sementara itu, Presiden Iran Ebrahim Raisi, berkata negara republik Islam itu tidak akan mengalah.

"Kami tidak akan berundur, walaupun selangkah daripada kedudukan kami," katanya yang menganggap badan pemantau PBB terlalu bergantung kepada laporan perisikan Israel yang dianggap rekaan semata-mata.

Iran telah membina simpanan besar uranium yang diperkaya, sebahagian daripadanya mencapai tahap yang jauh lebih tinggi daripada yang diperlukan untuk penjanaan tenaga nuklear. - AFP

Media Baharu