fb fb fb fb fb

Cacar monyet merebak ke Austria, Republik Czech, Slovenia

(Cacar monyet  ialah virus endemik yang jarang berlaku di beberapa bahagian Afrika/REUTERS)

PRAGUE, 25 Mei - Republik Czech, Austria dan Slovenia telah mencatat kes pertama cacar monyet, kata pihak berkuasa kesihatan.

Di Republik Czech, penyakit itu dikesan pada seorang lelaki di Hospital Universiti Tentera Prague, menurut Ketua Persatuan Penyakit Berjangkit Czech, Pavel Dlouhy.

"Ia hanya soal masa, kami telah menjangkakan ini selama beberapa hari," kata Dlouhy kepada AFP.

Institut Kesihatan Awam Kebangsaan Czech dalam satu kenyataan memaklumkan, pesakit telah menunjukkan gejala cacar monyet selepas pulang dari festival muzik di Antwerp, Belgium pada awal Mei.

Di Austria, seorang lelaki yang dimasukkan ke hospital di Vienna dengan gejala cacar monyet, termasuk demam, telah disahkan dijangkiti penyakit itu, kata pihak berkuasa kesihatan ibu negara.

(Tabung uji berlabel "Virus monkeypox positif dan negatif" dilihat dalam ilustrasi ini diambil pada 23 Mei 2022/REUTERS)

Di Slovenia pu;a, seorang lelaki yang mengalami gejala selepas pulang dari Kepulauan Canary, juga disahkan menghidap cacar monyet, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa negara Eropah dan Amerika Utara termasuk Britain, Perancis dan Amerika Syarikat telah melaporkan kes virus jarang berlaku, yang endemik di bahagian Afrika.

Pihak berkuasa perubatan berkata, risiko penyakit itu akan merebak secara meluas bagaimanapun adalah rendah. -AFP

Media Baharu