fb fb fb fb fb

Cacar monyet: Hampir semua kes babit lelaki -WHO

(Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata
beliau "prihatin dengan skala dan penyebaran" cacar monyet, dengan lebih 6,000 kes kini
disahkan di 59 negara/AFP)

GENEVA, 8 Julai- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengeluarkan laporan situasi pertama mengenai penyebaran cacar monyet dengan memperincikan profil tipikal individu yang terjejas akibat wabak itu.

Menurut statistik, hampir semua pesakit yang terjejas setakat ini adalah lelaki, dengan umur median 37 tahun.

Menurut WHO lagi, tiga perlima daripadanya dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei di luar Afrika Tengah dan Afrika Barat yang mana penyakit itu telah lama menjadi endemik.

Bermula 1 Januari hingga 4 Julai tahun ini, 6,027 kes cacar monyet disahkan oleh makmal dan tiga kematian dilaporkan kepada WHO membabitkan 59 negara.

Bilangan kes meningkat sebanyak 77 peratus sejak 27 Jun, yang mana dua kematian baharu dengan kedua-dua kes di Republik Afrika Tengah telah dilaporkan.

WHO berkata 10 negara tidak melaporkan kes baharu selama lebih 21 hari iaitu tempoh inkubasi maksimum penyakit itu.

Kira-kira 82 peratus kes dikesan di Eropah dan 15 peratus di Amerika.

Negara yang mempunyai lebih 1,000 kes yang disahkan ialah Britain (1,351), Sepanyol (1,256) dan Jerman (1,242), menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah dan WHO Eropah.

Di luar Eropah, WHO melaporkan 460 kes disahkan di Amerika Syarikat dan 300 di Kanada.

(Botol sampel percubaan berlabel vaksin cacar monyet, foto diambil pada 25 Mei 2022/REUTERS)


Menerusi laporan situasi dwi-mingguan pertama mengenai cacar monyet, WHO berkata data jantina tersedia pada 4,406 kes, yang mana 99.5 peratus adalah lelaki.

"Penyebaran wabak ini terus memberi kesan terutamanya kepada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan satu atau beberapa pasangan lelaki.

"Ia menunjukkan tiada isyarat penularan berterusan di luar rangkaian ini buat masa ini," menurut laporan itu.

Lelaki berumur 18 hingga 44 menyumbang 79 peratus kes, dengan umur median ialah 37.

Terdapat enam kes yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak bawah 18 tahun dan 25 kes yang diketahui dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

"Antara kes dengan orientasi seksual yang dilaporkan, 60 peratus (1,214 daripada 2,025) dikenal pasti sebagai gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki; dan 41 peratus (335 daripada 827) kes dengan status positif HIV.

"Laluan penularan yang paling kerap disyaki dan dilaporkan, antara kenalan yang diketahui, adalah melalui hubungan seksual," menurut laporan itu.

Gejala awal biasa cacar monyet termasuk demam panas, nodus limfa bengkak dan ruam seperti cacar air yang melepuh.

Bagaimanapun laporan itu mengatakan bahawa dalam wabak ini, banyak kes tidak menunjukkan gambaran klinikal yang digambarkan secara klasik.

Antara kes yang melaporkan sekurang-kurangnya satu simptom, 81 peratus mengalami ruam yang meluas pada badan, 50 peratus mengalami demam dan 41 peratus mengalami ruam alat kelamin.

Data ujian menunjukkan bahawa genom virus cacar monyet tergolong dalam jenis Afrika Barat, yang lebih ringan daripada kumpulan Lembangan Congo yang lain. -AFP

Media Baharu