fb fb fb fb fb

BYD rampas kedudukan Tesla dalam jualan kereta elektrik Eropah

Foto Reuters

BRUSSELS, 29 Ogos – Jualan kereta baharu di Eropah meningkat sebanyak 5.9 peratus pada bulan Julai, dipacu oleh pertumbuhan di Jerman yang berjaya mengimbangi penurunan pasaran di Britain, Perancis dan Itali.

Menurut data Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA), Tesla terus kehilangan pegangan pasaran untuk bulan ketujuh berturut-turut meskipun jualan keseluruhan kenderaan elektrik mencatatkan peningkatan.

Syarikat itu kini ketinggalan di belakang pesaing dari China, BYD, yang buat pertama kali dimasukkan dalam laporan jualan bulanan.

Volkswagen dan Renault turut merekodkan pertumbuhan kukuh, masing-masing dengan peningkatan pendaftaran sebanyak 11.6 peratus dan 8.8 peratus berbanding tahun lalu.

Sebaliknya, Tesla berdepan penurunan jualan mendadak sebanyak 40.2 peratus, menyusutkan pegangan pasaran kepada 0.8 peratus berbanding 1.4 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam masa yang sama, BYD melonjak 225.3 peratus dengan pegangan pasaran 1.2 peratus.

Secara keseluruhan, jumlah jualan kereta di Kesatuan Eropah (EU) meningkat 7.4 peratus.

Pendaftaran kenderaan elektrik bateri, hibrid elektrik dan hibrid plug masuk masing-masing naik 39.1 peratus, 56.9 peratus dan 14.3 peratus.

Keseluruhannya, kategori tersebut menyumbang 59.8 peratus daripada jumlah pendaftaran baharu di EU, meningkat daripada 51.1 peratus pada Julai 2024. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN