(Mendiang Nipsey Hussle)
CALIFORNIA, 23 Februari - Seorang lelaki California dijatuhi hukuman penjara 60 tahun kerana membunuh penyanyi rap Nipsey Hussle pada 2019.
Eric Holder Jr, 32 didapat bersalah atas pembunuhan tahap pertama pada Julai 2022 kerana menembak maut Hussle di luar kedai pakaian milik penyanyi rap itu.
Pada Rabu, Hakim Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles H. Clay Jacke menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup 25 tahun kepada Holder kerana membunuh Hussle, tambahan 25 tahun seumur hidup kerana dia menggunakan pistol dalam pembunuhan itu.
Holder diperintahkan menjalani tambahan hukuman penjara 10 tahun, kerana menembak dua orang yang berada di situ.
Pendakwa raya berkata Holder menembak Hussle sekurang-kurangnya 10 kali selepas mereka terserempak antara satu sama lain pada petang Ahad di luar kedai pakaian, selepas perbualan ringkas, Holder pergi dan kembali kira-kira 10 minit kemudian dan melepaskan tembakan.
(FOTO REUTERS)
Hussle 33 tahun secara terbuka pernah mengakui bahawa dia menyertai kumpulan samseng ketika remaja. Dia kemudiannya menjadi seorang aktivis dan usahawan.
Pada 2020, Hussle memenangi dua anugerah Grammy selepas kematian termasuk satu untuk "Racks in the Middle," dikeluarkan beberapa minggu sebelum kematiannya dan menampilkan Roddy Ricch dan Hit-Boy. - REUTERS