fb fb fb fb fb

Bapa kepada dua beradik yang terbunuh di Pakistan ditahan polis

SPAIN, 23 Februari-  Polis telah menahan bapa kepada dua beradik perempuan Pakistan yang menetap di Sepanyol.

Menurut sumber polis, dua beradik tersebut telah dibunuh semasa pulang melawat keluarga di Pakistan.

Bapa mereka; identiti tidak dinyatakan telah ditahan di Terrassa, sebuah bandar yang terletak kira-kira 30 kilometer barat laut Barcelona.

Dilaporkan penyiasat sedang mencari bukti yang boleh dikaitkan dengan plot pembunuhan anak perempuannya, Aneesa Abbas 24 tahun dan Arooj berusia 21 tahun, memetik sumber polis.

Mereka dilaporkan dibunuh pada tahun lepas di Pakistan kerana didakwa enggan membantu suami mereka ke Sepanyol selepas ke dua-duanya dipaksa berkahwin dengan dua sepupu mereka pada 2021.

Dilaporkan dua beradik tersebut turut diseksa dengan teruk sebelum ditembak mati. Kejadian berlaku di daerah Gujrat, sebuah bandar di timur Pakistan, pada 20 Mei 2022.

Media Sepanyol melaporkan, dua beradik tersebut sudah menetap di Sepanyol sejak beberapa tahun lalu.

Apabila mereka pulang ke Pakistan pada tahun lepas, keluarga mereka telah menyuruh mereka membawa suami berhijrah ke Sepanyol.

Namun, kedua-duanya enggan berbuat demikian, malah menuntut cerai sebelum kedua-duanya dilaporkan mati dibunuh.

(FOTO AFP)

Pada Mei tahun lalu, polis Pakistan menahan enam lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.

Pihak berkuasa juga telah mengenakan tuduhan membunuh terhadap abang mangsa, bapa saudara sebelah bapa, kedua-dua suami, sepupu, dan kedua-dua bapa mentua. -AFP

Media Baharu