fb fb fb fb fb

Bunuh pejuang hak kaum India kasta rendah, lapan suspek ditangkap

K. Armstrong, ahli politik dan pejuang hak kaum India kasta rendah

NEW DELHI, 6 Julai- Lapan orang telah ditangkap di India pada Sabtu kerana membunuh seorang ahli politik yang memperjuangkan hak kaum India kasta rendah, kata polis.

K. Armstrong, ketua bahagian Parti Bahujan Samaj (BSP), ditetak hingga mati dengan parang dan sabit berhampiran rumahnya di bandar selatan Chennai pada malam Jumaat.

Enam lelaki yang menaiki motosikal menyerang Armstrong ketika dia sedang berbual dengan rakan dan penyokongnya berhampiran rumahnya di ibu negeri Tamil Nadu, lapor akhbar Indian Express.

Penyerang kemudiannya dilaporkan melarikan diri.

Berpuluh-puluh penyokong Armstrong turun ke jalan pada sebelah petang untuk memprotes pembunuhannya dan menuntut keadilan.

Pegawai kanan polis Chennai, Asra Garg berkata, lapan suspek sedang disoal siasat selepas siasatan awal.

Mayawati, ketua kebangsaan BSP, berkata pihaknya mengecam serangan berkenaan.

"Kerajaan negeri mesti menghukum mereka yang bersalah," katanya dalam catatan di platform media sosial X.

Ketua Menteri Tamil Nadu M.K. Stalin turut menggesa polis untuk segera menyelesaikan siasatan.

“Pembunuhan Armstrong amat mengejutkan dan amat menyedihkan,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE