NEW DELHI, 28 Jun- Seorang maut akibat struktur bumbung di lapangan terbang utama di New Delhi runtuh akibat hujan lebat dan angin pada Jumaat.
Insiden itu turut menyebabkan tiga orang cedera, selain pembatalan penerbangan dari terminal domestik, kata pegawai.
Sebahagian daripada kanopi di kawasan berlepas terminal 1 Delhi runtuh pada pukul 5.00 pagi waktu tempatan, kata kenyataan dari lapangan terbang yang disiarkan di laman media sosial X.
"Terdapat kecederaan dilaporkan dan kakitangan kecemasan sedang berusaha untuk memberikan semua bantuan yang diperlukan dan bantuan perubatan kepada mereka yang terjejas," kata kenyataan itu.
Saluran berita melaporkan bahawa tiga orang cedera dan seorang terperangkap di bawah bumbung yang runtuh.
"Semua pelepasan dari terminal syarikat penerbangan tambang rendah IndiGo dan SpiceJet dibatalkan sehingga pukul 2.00 petang," tambah kenyataan itu.
Visual daripada media menunjukkan air mencurah-curah dari bumbung yang runtuh dan sebuah teksi tersangkut di bawah tiang, walaupun hujan terus mencurah-curah di kawasan itu, menyebabkan jalan raya ditenggelami air dan kesesakan lalu lintas.- REUTERS