fb fb fb fb fb

Britain setuju sertai pakatan perdagangan Trans-Pasifik

LONDON/TOKYO, 1 April - Britain pada Jumaat berkata negara itu telah memuktamadkan untuk menyertai pakatan perdagangan trans-Pasifik 11 negara yang melibatkan Jepun dan Australia.

Britain mengangapp penyertaan itu kerana ingin memperkukuhkan hubungan di rantau berkenaan serta membina rantaian perdagangan globalnya selepas meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Perdana Menteri Rishi Sunak berkata Britain bersetuju untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), dalam satu langkah yang dikatakan pejabatnya sebagai perjanjian perdagangan terbesar sejak Brexit.

"Menyertai blok perdagangan CPTPP meletakkan UK di tengah-tengah kumpulan ekonomi Pasifik yang dinamik dan berkembang," kata Sunak dalam satu kenyataan.

Sunak menambah perjanjian itu menunjukkan "manfaat ekonomi sebenar daripada kebebasan pasca-Brexit kami."

Britain berusaha untuk membina hubungan perdagangan global selepas keluar dari EU pada 2020 dan melihat untuk beralih ke arah ekonomi yang jauh dari segi geografinya tetapi berkembang pesat.

Ia mengeratkan hubungannya di Indo-Pasifik kerana rangka kerja dasar luarnya menjadikan China sebagai "cabaran penentu zaman".

Anggota CPTPP lain ialah Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Britain ialah anggota baharu pertama yang menyertai kumpulan itu.

Menurut Britain perjanjian itu, akan mengurangkan tarif ke atas kereta, minuman keras dan produk tenusu, akan meningkatkan ekonomi sebanyak £1.8 bilion (RM9.84 bilion) setiap tahun dalam jangka panjang – angka yang boleh meningkat apabila lebih banyak negara menyertai pakatan itu.

Britain bersetuju dengan perjanjian perdagangan baharu pasca-Brexit dengan Australia dan New Zealand, dan bersetuju dengan FTA dengan Jepun pada 2020.

Negara itu juga sedang berbincang dengan Kanada dan Mexico mengenai FTA baharu, selepas ia melancarkan perjanjian perdagangan EU sebelumnya pada akhir 2020. - REUTERS

Media Baharu