fb fb fb fb fb

Britain labur lebih 100 juta paun, bina sembilan hab penyelidikan baharu AI

Foto Reuters

LONDON, 6 Februari- Kerajaan Britain pada Selasa berkata ia akan membelanjakan lebih daripada 100 juta paun ($125 juta) untuk melancarkan sembilan hab penyelidikan baharu dalam kecerdasan buatan (AI) serta melatih pengawal selia mengenai teknologi itu.

"AI bergerak pantas, tetapi kami telah menunjukkan bahawa manusia boleh bergerak sama pantas. Dengan mengambil pendekatan yang cepat dan pengkhususan sektor, kami telah mula menangani risiko dengan segera," kata menteri teknologi, Michelle Donelan dalam satu kenyataan.

Hampir 90 juta paun akan digunakan untuk hab, yang akan memberi tumpuan kepada penggunaan AI termasuk dalam bidang penjagaan kesihatan, kimia dan matematik dan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai teknologi AI yang berkaitan.

10 juta paun lagi akan digunakan dalam membantu pengawal selia menangani risiko dan memanfaatkan peluang AI seperti membangunkan alat praktikal untuk memantau risiko dalam sektor, merangkumi telekomunikasi dan penjagaan kesihatan kepada kewangan dan pendidikan.

Terdahulu, Britain telah menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak antarabangsa pada November 2023 mengenai keselamatan AI.

Lebih daripada 25 negara yang hadir telah menandatangani "Deklarasi Bletchley", yang memfokuskan kepada mengenal pasti risiko bersama dan pembangunan dasar rentas negara sebagai langkah mengurangkannya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM