fb fb fb fb fb

Ribut California 'Pineapple Express' cetuskan banjir, tanah runtuh

Rumah musnah akibat ribut hujan yang berterusan di California/ REUTERS

LOS ANGELES, 6 Februari- Ribut pasifik 'Pineapple Express' kedua melanda California semalam, beberapa hari selepas membadai pantai barat Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh.

Amaran cuaca ekstrem banjir, angin kencang dan ribut musim sejuk dikeluarkan di sebahagian California dan barat daya Arizona yang menempatkan kira-kira 35 juta penduduk semalam, selain pihak berkuasa menggesa orang ramai mengehadkan pemanduan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) merekodkan jumlah hujan sangat tinggi akibat ribut yang melanda California Utara kelmarin, dengan tiupan angin taufan yang kuat ketika bergerak ke selatan pada malam Ahad dan Isnin.

NWS turut berkata, lebih 25.4 cm hujan turun sejak Ahad di Los Angeles, dengan jangkaan hujan lebih banyak sebelum ia dijangka reda, hujung minggu ini.

"Pencemaran air yang ketara sedang berlaku dan ia dijangka merebak," katanya dalam notis dipaparkan secara dalam talian.

Jabatan Polis Los Angeles melaporkan puluhan kemalangan jalan raya dengan kecederaan sejak ribut membadai, jauh lebih banyak berbanding biasa.

Ketua Bomba Bandar, Kristin Crowley berkata pasukannya bertindak balas terhadap sekurang-kurangnya 130 kejadian banjir sehingga pagi semalam.

Ribut itu turut membawa hujan lebat bersama salji tebal di kawasan gunung ke California dengan pakar meteorologi menyifatkannya sebagai sungai atmosfera, iaitu arus udara besar berisi lembapan yang dialirkan ke dalam daratan dari Pasifik.

Kejadian terkini serta ribut kurang kuat yang melanda California pada Rabu dan Khamis, juga dikategorikan sebagai 'Pineapple Express' jenis sungai atmosfera yang bermula dari air subtropika di sekitar Hawaii.

Angin dengan kelajuan hingga 121 kilometer sejam pada Ahad, menumbangkan pokok dan wayar utiliti di seluruh Teluk San Francisco dan Pesisir Tengah California, menyebabkan bekalan elektrik kepada kira-kira 875,000 rumah, terputus ketika kemuncak kejadian terbabit.

Kelmarin, sekurang-kurangnya dua maut akibat dihempap pokok, masing-masing seorang lelaki berusia 82 tahun di Yuba City, manakala seorang lelaki berusia 45 tahun di Boulder Creek di kawasan perairan Gunung Santa Cruz.

NWS berkata, ancaman banjir kilat terbesar semalam, tertumpu di Selatan California ketika ia perlahan-lahan berpusing dan mendorong lebih jauh ke kawasan pedalaman California, manakala jurucakap cuaca menolak kemungkinan impak 'menimbulkan bencana'. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI