fb fb fb fb fb

Britain dan sekutu Eropah utara, umum pakej ketenteraan untuk Ukraine

FOTO AFP

LONDON, 11 Oktober- Britain dan sekutu Eropah utara yang lain mengumumkan pakej sokongan ketenteraan baharu bernilai £100 juta pound pada Rabu untuk Ukraine.

Dana berkenaan bertujuan membantu angkatan tenteranya membersihkan kawasan periuk api, menyelenggara kenderaan dan melindungi infrastruktur utama.

Kementerian Pertahanan Britain (MoD) berkata pakej itu akan disediakan menggunakan wang daripada Dana Antarabangsa untuk Ukraine (IFU) yang ditadbir United Kingdom termasuk menyediakan peralatan untuk menyeberangi kawasan periuk api dan membina jambatan di sungai dan parit.

Sokongan baharu itu datang ketika penyokong Barat Kiev berlumba untuk meningkatkan penghantaran senjata menjelang musim sejuk selepas serangan pada musim panas gagal memberi sebarang keuntungan diharapkan.

"Ia juga bertepatan dengan kontrak akhir yang telah ditandatangani daripada pakej IFU yang diumumkan sebelum ini yang akan menyaksikan lebih £70 juta pound keupayaan pertahanan udara dihantar ke Ukraine," menurut MoD.


(Barisan Menteri Pertahanan dari negara anggota IFU/AFP)

Antara persenjataannya adalah termasuk platform MSI-DS Terrahawk Paladin, yang boleh menjejak dan memusnahkan dron serta melindungi infrastruktur.

Setiausaha Pertahanan Britain yang dilantik baru-baru ini, Grant Shapps berkata sistem pertahanan udara baharu itu akan membantu Ukraine melindungi orang awam daripada siri pengeboman 'biadab' Rusia.

Tambah Shapps, beliau akan bersama-sama rakan sejawat dari rakan negara IFU untuk sesi pengumuman sokongan itu hari ini, di ibu pejabat NATO di Brussels.

IFU, merupakan satu kaedah pembiayaan yang dilancar Britain dan Denmark pada 2022 menerusi sumbangan rakan kongsi antarabangsa, dalam usaha menyokong bantuan ketenteraan Ukraine.

Dana terkumpul adalah sebanyak £785 juta pound, setakat ini.

Sumbangan itu datang daripada pengasasnya dan lima ahli lain iaitu Norway, Belanda, Sweden, Iceland dan Lithuania dan ditadbir oleh Britain.

Menurut Ketua Turus Pertahanan, Laksamana Britain Tony Radakin berkata pakej itu adalah yang terbaharu, dalam usaha yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan berterusan oleh 50 negara untuk menyokong usaha perang Ukraine.- AFP

Media Baharu