(Platform stesen Clapham Junction di London kosong semasa mogok oleh Rel Selatan/AFP)
LONDON, 20 Jun - Rangkaian kereta api Britain minggu ini berdepan mogok terbesar dalam tempoh lebih tiga dekad berturut-turut berikutan isu gaji dan inflasi yang melambung sehingga menjejaskan pendapatan.
Kesatuan kereta api, RMT memaklumkan bahawa lebih 50,000 pekerja akan mengambil bahagian dalam mogok nasional selama tiga hari, bertepatan dengan beberapa acara besar termasuk Festival Muzik Glastonbury.
Pihak sekolah menyatakan kebimbangan bahawa beribu-ribu remaja yang mengambil peperiksaan kebangsaan juga akan terjejas.
RMT bagamanapun berhujah bahawa mogok itu perlu kerana kadar gaji tidak seimbang dengan inflasi, yang telah mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun.
Mogok dirancang diadakan pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu dalam pertikaian terbesar kesatuan itu sejak 1989.
RMT juga mengumumkan bahawa ahlinya akan meninggalkan the Tube, rangkaian kereta api bawah tanah London, selama 24 jam pada hari Selasa.
Pengendali rel memberi amaran tentang gangguan sepanjang minggu, walaupun laluan tidak terjejas akibat mogok namun kekerapan perjalanan akan dikurangkan.
(Seorang penumpang berjalan melepasi pintu masuk tertutup di stesen Clapham Junction di London semasa mogok pemandu 'Southern Rail'/AFP)
"Perbincangan tidak berjalan sejauh yang saya harapkan dan oleh itu kita mesti bersedia untuk mogok kereta api nasional dan kesan buruk yang akan berlaku," kata Andrew Haines, Ketua Eksekutif Network Rail, yang mengendali landasan kereta api negara itu.
"Kami, dan rakan sekerja operasi kereta api kami sedang bersiap sedia untuk menjalankan perkhidmatan terbaik yang kami mampu untuk penumpang dan pengguna kargo minggu depan walaupun ada tindakan RMT," katanya. -AFP