fb fb fb fb fb

Britain, Perancis dan Kanada ancam tindakan bersama ke atas Israel

Foto Arkib

LONDON, 20 Mei – Perdana Menteri Britain Keir Starmer, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney kecam tindakan Israel di Gaza yang disifatkan sebagai melampau.

Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga pemimpin mengutuk sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel dan memberi amaran akan mengambil tindakan bersama sekiranya serangan ketenteraan tidak dihentikan.

Turut disentuh kebiadapan kenyataan beberapa menteri dalam kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang mengancam pengusiran besar-besaran rakyat Palestin.

“Kami tidak akan berdiam diri sementara kerajaan Netanyahu meneruskan tindakan melampau ini. Jika Israel tidak menghentikan serangan ketenteraan terbaharu dan menarik balik sekatan bantuan kemanusiaan, kami akan mengambil tindakan konkrit seterusnya,” menurut kenyataan tersebut.

Meskipun tidak memperincikan bentuk tindakan yang akan diambil, mereka menegaskan komitmen untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan penyelesaian dua negara dan sedia bekerjasama dengan pihak lain untuk tujuan itu.

Kenyataan itu seiring desakan bersama 22 negara termasuk Britain, Perancis dan Kanada agar Israel segera membenarkan semula penghantaran penuh bantuan ke Gaza.

Israel telah menyekat sepenuhnya bantuan ke Gaza sejak 2 Mac, namun mengumumkan akan membenarkan sejumlah kecil trak untuk masuk menghantar bekalan.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 3,340 orang telah terbunuh sejak Israel menyambung semula serangan pada 18 Mac, menjadikan jumlah keseluruhan korban perang kini mencecah 53,486 orang. - AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN