fb fb fb fb fb

Brazil lindungi 140 juta penduduk daripada denggi dengan kilang nyamuk terbesar dunia

Seorang petugas makmal meneliti nyamuk Aedes aegypti yang dijangkiti bakteria Wolbachia menggunakan mikroskop di fasiliti Wolbito do Brasil di Curitiba, Brazil/ Foto REUTERS

CURITIBA, 20 September – Brazil merintis langkah baharu memerangi wabak denggi dengan membuka biofabrik nyamuk terbesar dunia yang berupaya melindungi sehingga 140 juta penduduk dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kemudahan itu dinamakan Wolbito do Brasil, dibuka pada 19 Julai lalu di Curitiba hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Brazil, World Mosquito Program, Yayasan Oswaldo Cruz serta Institut Biologi Molekul Parana.

Ia mampu menghasilkan 100 juta telur nyamuk dalam tempoh seminggu.

Ketua Eksekutif Wolbito do Brasil, Luciano Moreira berkata fasiliti itu berpotensi melindungi sekitar tujuh juta orang setiap enam bulan melalui pelepasan nyamuk yang dijangkiti bakteria Wolbachia.

Bakteria tersebut terbukti selamat kerana hanya hidup dalam sel serangga, namun berfungsi menghalang penularan virus denggi, Zika dan Chikungunya.

Sejak tahun 2014, kaedah itu sudah melindungi lebih lima juta penduduk di lapan bandar Brazil.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Brazil mencatatkan tahun terburuk denggi pada tahun 2023 dengan 6,297 kematian. Usaha ini dilihat penting bagi mengekang penyakit yang digelar 'break-bone fever' kerana kesakitannya yang teruk.

Pelepasan nyamuk berjangkit akan dilakukan di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ denggi, dengan keutamaan kepada kejiranan yang mencatat kes tertinggi. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN