ANTANANARIVO, 15 November- Sebahagian tebing sungai runtuh di barat Madagascar mengakibatkan 16 maut selepas menghempap sebuah bot penumpang yang sedang membawa dua mayat, menurut polis dan media tempatan pada Khamis.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku lewat Selasa di Sungai Tsiribihina, wilayah Menabe.
"Daripada 26 penumpang, 16 tidak terselamat," kata pihak polis.
Lapor akhbar L'Express de Madagascar, bot berkenaan berhenti pada lewat malam di Belo-sur-Tsiribihina, sebuah perkampungan kira-kira 320 kilometer barat daya ibu negara Antananarivo, untuk memberi peluang penumpang berehat.
"Semasa bot sedang berlabuh, sebahagian tebing runtuh dan menghempap bot tersebut," menurut laporan.
Dua penumpang yang maut adalah kanak-kanak berusia sembilan tahun dan lima bulan.
Empat daripada korban pula merupakan ahli keluarga yang sama dan sedang membawa dua mayat dalam keranda semasa kejadian, tambahnya. -AFP