fb fb fb fb fb

Boeing diarah buat pemeriksaan berhubung isu topeng oksigen

FOTO HIASAN

WASHINGTON, 9 Julai- Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada Isnin mengarahkan pemeriksaan topeng oksigen penumpang pada kira-kira 2,600 pesawat Boeing kerana masalah dengan bahan pelekat yang boleh menyebabkan topeng itu beralih daripada kedudukan asal.

FAA memaklumkan, kerosakan tersebut boleh menyebabkan ketidakupayaan untuk menyediakan oksigen tambahan kepada penumpang semasa insiden penyahtekanan.

Menurut FAA, arahan pemeriksaan itu dibuat selepas beberapa laporan daripada penumpang yang menyatakan unit topeng oksigen telah beralih daripada kedudukan kerana "kegagalan pengekalan".

Isu itu menjejaskan kedua-dua versi lama dan lebih baharu pesawat Boeing 737. FAA pada masa ini tidak dapat menganggarkan bilangan pesawat yang terjejas oleh kecacatan berkenaan dan memerlukan pembaikan semula.

Sementara itu, FAA berkata arahan kelayakan terbang mereka berkuat kuasa serta-merta dan memerlukan pemeriksaan serta tindakan pembetulan, jika perlu dalam tempoh 120 hingga 150 hari bergantung kepada model 737.

Menurut FAA, syarikat penerbangan mesti memeriksa dan jika perlu, mengganti atau membaiki penjana oksigen dan pad terma.

Isnin lalu, Boeing memaklumkan pihaknya telah mencapai perjanjian dengan Jabatan Kehakiman AS berhubung dua kemalangan maut 737 MAX, dengan dokumen mahkamah menunjukkan gergasi penerbangan itu akan mengaku bersalah atas dakwaan penipuan.

Pendakwa raya telah membuat kesimpulan bahawa Boeing mengingkari penyelesaian awal menangani bencana, di mana 346 orang terbunuh di Ethiopia dan Indonesia lebih lima tahun lalu.AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE