fb fb fb fb fb

Bocor maklumat sulit, Tentera Laut AS dijatuhi hukuman penjara 27 bulan

Foto hiasan

LOS ANGGELES, 9 Januari- Seorang Tentera Laut AS mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat sulit ketenteraan kepada pegawai perisikan China.

Tertuduh Weng Zhao, 26 tahun, membuat pengakuan berkenaan di Mahkamah Persekutuan di California, selepas bersubahat dengan pegawai perisikan asing dan menerima rasuah.

Jabatan Kehakiman AS menetapkan dia dijatuhi hukuman penjara 27 bulan dan denda sebanyak $5,500.

Mengikut pertuduhan, Zhao yang ditempatkan di pangkalan tentera laut di utara Los Angeles, menerima hampir $15,000 daripada pegawai perisikan China antara Ogos 2021 dan Mei 2023.

Sebagai pertukaran, dia menyerahkan maklumat sulit mengenai operasi keselamatan Tentera Laut AS, latihan dan infrastruktur kritikal.

Dia didakwa memberikan maklumat tentang latihan maritim berskala besar di Pasifik, gambar rajah dan pelan tindakan elektrik untuk sistem radar yang terletak di Okinawa, Jepun.

Penolong Peguam Negara Matthew Olsen dalam satu kenyataan berkata Zhao mengkhianati sumpahnya untuk mempertahankan negara dan membahayakan mereka yang berkhidmat dalam Tentera AS.

"Jabatan Kehakiman komited untuk memerangi usaha kerajaan China yang menjejaskan keselamatan negara kita dan mempertanggungjawabkan mereka yang melanggar undang-undang kita sebagai sebahagian daripada usaha itu", katanya.

Sementara itu, seorang yang dikenali sebagai Jinchao Wei turut ditahan.

Wei, yang berkhidmat di kapal USS Essex, dituduh menyerahkan kepada China berpuluh-puluh dokumen, gambar dan video yang memperincikan operasi kapal dan sistem mereka.-AFP

ROSLINA BINTI DIN