fb fb fb fb fb

Biden umum pembebasan tebusan kanak-kanak empat tahun

Presiden AS Joe Biden/ AFP

NANTUCKET, 27 November- Seorang kanak-kanak perempuan Amerika berusia empat tahun selamat di Israel selepas dibebaskan semalam daripada tahanan di Gaza, kata Presiden AS Joe Biden sambil menggesa jeda pertempuran Israel-Hamas dilanjutkan bagi membolehkan lebih banyak pembebasan tebusan.

"Dia bebas dan dia berada di Israel sekarang," kata Biden kepada pemberita sejurus selepas tentera Israel mengumumkan bahawa 17 tebusan telah dibebaskan oleh Hamas.

"Abigail telah melalui trauma yang teruk," kata Biden mengenai kanak-kanak itu yang ibu bapanya terbunuh dalam insiden 7 Oktober lalu.

"Hari ini, dia bebas dan saya bersama-sama ramai rakyat Amerika, berdoa agar dia akan baik-baik saja.

“Dia kini selamat di Israel, dan kami terus mendesak dan menjangkakan akan ada tambahan orang Amerika yang akan dibebaskan juga. Dan kami tidak akan berhenti berusaha sehingga setiap tebusan dikembalikan kepada orang yang mereka sayangi," kata Biden.

Terdahulu White House telah berkata bahawa 10 rakyat Amerika iaitu tujuh lelaki, dua wanita dan Abigail sendiri hilang dan dianggap sebagai tebusan oleh Hamas.

Sejak konflik bermula, Biden "membangkitkan kes Abigail dalam hampir semua panggilan telefonnya dengan rakan sejawatannya serta dengan Emir Qatar semalam," kata pegawai itu.

Saksi membantu pegawai AS menyelami pengalaman pahit Abigail dengan lebih dekat berbanding tebusan AS yang lain, di mana kebanyakannya berada di lokasi yang tidak diketahui di Gaza.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI