(Presiden Colombia yang baharu, Gustavo Petro/Foto AFP)
WASHINGTON, 22 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengucapkan tahniah kepada presiden berhaluan kiri Colombia yang baharu, Gustavo Petro, atas kemenangan pilihan rayanya menerusi satu panggilan telefon, kata Rumah Putih.
Biden menegaskan bahawa dia berharap untuk bekerjasama dengan presiden yang dipilih untuk terus mengukuhkan kerjasama dua hala, termasuk mengenai perubahan iklim, keselamatan kesihatan, dan pelaksanaan perjanjian damai Colombia dengan militan berhaluan kiri.
Mereka juga membincangkan mengenai keselamatan dua hala dan kerjasama anti-narkotik.
(Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden/Foto AFP)
Petro, yang juga bekas gerila, dipilih sebagai presiden pertama Colombia berhaluan kiri pada Ahad, selepas menewaskan ahli perniagaan jutawan, Rodolfo Hernandez dalam pilihan raya yang tegang dan tidak dapat diramalkan.
Kemenangannya menambah kepada peningkatan yang ketara bagi pasukan berhaluan kiri di Amerika Latin dan mencatatkan landasan baharu di negara yang telah lama terikat dengan dasar luar AS sebagai sarang pembuatan dadah dan pemberontakan yang ganas. -AFP