WASHINGTON, 5 September – Bekas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, baru-baru ini menjalani pembedahan bagi membuang sel kanser kulit dan kini dilaporkan pulih dengan baik, menurut lapor NBC News pada Khamis.
Prosedur berkenaan dikenali sebagai pembedahan Mohs, iaitu kaedah biasa digunakan untuk merawat jenis kanser kulit yang lazim.
Pembedahan itu dilakukan hanya beberapa bulan selepas Biden, 82, mendedahkan pada Mei lalu bahawa beliau menghidap kanser prostat metastatik.
Pasukan perubatan sebelum ini menyifatkan penyakit tersebut sebagai agresif tetapi sensitif kepada hormon, sekali gus dijangka memberi respons positif terhadap rawatan.
Jurucakap Biden bagaimanapun tidak segera memberikan maklum balas lanjut mengenai pembedahan berkenaan pada Khamis.
Pada 2023, ketika masih memegang jawatan presiden, Biden pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kulit ketika pemeriksaan rutin, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai basal cell carcinoma.
Sepanjang tempoh pentadbirannya, tahap kesihatan fizikal dan mental Biden sering menjadi perhatian umum.
Beliau menarik diri daripada bertanding untuk penggal kedua pada Julai 2024, hanya beberapa minggu selepas prestasi hambar dalam debat bersama Donald Trump mencetuskan kebimbangan dalam Parti Demokrat.
Biden merupakan presiden tertua pernah dipilih dalam sejarah AS ketika kemenangannya pada 2020, sebelum rekod itu diatasi tahun lalu apabila Trump, kini berusia 79 tahun, dipilih semula sebagai presiden.
Sejak meninggalkan jawatan, Biden lebih banyak menyepi daripada perhatian umum, kecuali beberapa penampilan awam termasuk pada April lalu ketika beliau menyampaikan ucapan mempertahankan Pentadbiran Keselamatan Sosial daripada cadangan pemotongan oleh pentadbiran Trump. - REUTERS