fb fb fb fb fb

Trump tandatangan perintah turunkan tarif import kenderaan Jepun

Foto REUTERS

WASHINGTON, 5 September – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif bagi menurunkan tarif terhadap kenderaan Jepun, sekali gus menggerakkan pelaksanaan perjanjian perdagangan yang dipersetujui antara Washington dan Tokyo.

Berdasarkan dokumen yang diterbitkan oleh White House, tarif kenderaan Jepun dikurangkan kepada 15 peratus berbanding kadar semasa 27.5 peratus.

Tahap yang sama turut dikenakan ke atas pelbagai barangan lain dengan had maksimum 15 peratus.

Keputusan berkenaan dianggap kemenangan besar buat Jepun selepas wakilnya, Ryosei Akazawa, berkunjung ke Washington untuk mendesak Trump menandatangani perintah tersebut, beberapa minggu selepas kedua-dua pihak mengumumkan perjanjian perdagangan itu.

Trump sebelum ini menaikkan tarif pada awal Ogos, termasuk terhadap Jepun, sekali gus menambah beban kepada sektor automotif negara itu yang menyumbang kira-kira lapan peratus pekerjaan.

Dengan pengumuman baharu itu, kadar 15 peratus akan diguna pakai secara retroaktif ke atas barangan yang dihantar mulai 7 Ogos.

Menurut perintah tersebut, pelaksanaan pengubahsuaian tarif perlu dilakukan dalam tempoh tujuh hari selepas ia disiarkan dalam Daftar Persekutuan.

Selain tarif khusus mengikut negara, Trump turut mengenakan kadar tambahan mengikut sektor termasuk 25 peratus ke atas kenderaan dan alat ganti, di samping tarif sedia ada 2.5 peratus, yang menjadikan keseluruhan 27.5 peratus sebelum pengurangan diumumkan.

Perjanjian baharu itu memberi Jepun kelegaan serupa dengan Kesatuan Eropah (EU), yang juga menikmati tarif maksimum 15 peratus ke atas banyak produk.

Dalam lawatan sama, Akazawa dijadualkan berbincang mengenai dakwaan Trump bahawa Jepun akan melabur AS$550 bilion di Amerika Syarikat.

Namun, dokumen perintah itu hanya menyatakan pelaburan akan dipilih oleh kerajaan AS tanpa butiran lanjut.

Trump sebelum ini menegaskan Amerika Syarikat akan mengekalkan 90 peratus keuntungan daripada pelaburan tersebut, sementara Jepun menjelaskan kebanyakannya berupa pinjaman dan jaminan pinjaman.

Menurut laporan Nikkei, Akazawa sebelum ini membatalkan lawatan apabila Washington mempertimbangkan untuk memasukkan pengurangan tarif Jepun ke atas produk pertanian dalam perintah presiden.

Trump juga berulang kali mendesak Jepun meningkatkan import beras dari Amerika Syarikat. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD