fb fb fb fb fb

Anutin bakal PM baharu Thailand

Ahli politik konservatif, Anutin Charnvirakul dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand baharu / Foto REUTERS

BANGKOK, 5 September – Parlimen Thailand dijangka mengundi hari ini untuk memilih tokoh korporat, Anutin Charnvirakul, sebagai perdana menteri baharu sekali gus menyingkirkan dominasi politik keluarga Shinawatra selepas pemimpin mereka digugurkan mahkamah minggu lalu.

Sejak pilihan raya 2023, parti Pheu Thai yang diterajui keluarga Shinawatra menguasai jawatan tertinggi negara itu.

Namun, keputusan mahkamah pada minggu lalu menyaksikan Paetongtarn Shinawatra, dipecat daripada jawatan perdana menteri selepas hanya setahun berkuasa.

Mengisi kekosongan itu, Anutin, 58, seorang jutawan pembinaan, berjaya meraih sokongan blok pembangkang yang cukup untuk memberinya majoriti selesa di dewan rendah.

Undian dijangka bermula sekitar jam 10 pagi (waktu tempatan) di bangunan parlimen yang dibina oleh syarikat keluarganya.

“Adalah normal untuk rasa teruja,” katanya kepada wartawan ketika tiba untuk sesi pengundian.

Anutin pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri, menteri dalam negeri serta menteri kesihatan.

Beliau paling dikenali kerana mengotakan janjinya pada 2022 untuk menghalalkan ganja.

Bagaimanapun, ketika mengendalikan kes Covid-19 pada 2021, kenyataannya menuduh warga Barat menyebarkan virus itu mencetuskan kecaman sebelum beliau memohon maaf.

Keluarga Shinawatra sudah lebih dua dekad mendominasi politik Thailand dengan gaya populis yang sering bertembung dengan kumpulan protentera dan promonarki.

Namun, siri masalah undang-undang dan politik, termasuk pemecatan Paetongtarn, semakin melemahkan pengaruh mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, pengasas dinasti, Thaksin Shinawatra, dilaporkan berlepas ke Dubai beberapa jam sebelum sesi undi parlimen bagi “melawat rakan” dan mendapatkan rawatan.

Mahkamah Agung Thailand dijadual membuat keputusan Selasa ini sama ada beliau layak mendapat pengurangan hukuman penjara lebih awal atau kemungkinan dipenjarakan semula.

Anutin sebelum ini pernah menyokong gabungan Pheu Thai tetapi berpaling tadah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Paetongtarn dalam isu pertikaian sempadan dengan Kemboja.

Mahkamah Perlembagaan pada 29 Ogos mendapati tindakannya melanggar etika menteri dan memecatnya daripada jawatan.

Kini bergerak sendiri, Anutin memperoleh sokongan penting 143 kerusi daripada Parti Rakyat (People’s Party), parti pembangkang terbesar, namun dengan syarat parlimen dibubarkan dalam tempoh empat bulan untuk memberi laluan pilihan raya baharu.

Dengan sokongan parti pimpinannya, Bhumjaithai, yang merupakan ketiga terbesar di parlimen, serta beberapa sekutu kecil lain, beliau dilihat hampir pasti dilantik sebagai perdana menteri.

Sementara itu, parti Pheu Thai yang masih berfungsi sebagai kerajaan sementara cuba menghalang proses undi hari ini dengan meminta parlimen dibubarkan, namun permohonan itu ditolak istana.

Parti berkenaan dijangka mencalonkan Chaikasem Nitisiri, bekas menteri kehakiman era Shinawatra, sebagai calon perdana menteri. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD