fb fb fb fb fb

Biden isytihar California dilanda bencana besar

FOTO AFP

SALINAS, 15 Januari- Ribut yang berterusan di California telah mengakibatkan banjir buruk di kawasan itu selain turut berdepan ancaman salji lebat setinggi dua meter.

Susulan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan California dilanda bencana besar.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), hujan lebat, salji dan angin kencang serta satu lagi lonjakan kelembapan Pasifik dijangka berlaku esok.

Ia sekali gus meramalkan 'banjir dahsyat' melanda lembah rendah Sungai Salinas iaitu kawasan pertanian utama di selatan Teluk San Francisco.

Menurut kenyataan Rumah Putih pada semalam, bantuan Persekutuan akan disalurkan sebagai usaha tambahan kepada pihak tempatan dalam memulihkan kawasan yang terjejas akibat bencana alam itu.

Dengan pengisytiharan itu, pembiayaan Persekutuan disediakan untuk membantu mangsa yang terkesan termasuk daripada segi perumahan sementara dan baik pulih.

Sekurang-kurang 19 mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat ribut itu dalam tempoh tiga minggu lalu.

Mereka termasuk pemandu yang ditemui dalam kereta ditenggelami air dan individu dihempap pokok tumbang, selain sepasang suami isteri maut dalam runtuhan batu.

Usaha mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Kyle Doan terpaksa ditangguhkan akibat paras air yang terus meningkat serta faktor cuaca.


(FOTO REUTERS)

Dalam pada itu, seorang wartawan AFP pula menyaksikan air Sungai Salinas melimpah ke banyak tempat, termasuk membanjiri ladang dalam keadaan cuaca hujan berterusan.

Gabenor California, Gavin Newsom, menggesa penduduk supaya terus berjaga-jaga dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.-AFP

 

Media Baharu