fb fb fb fb fb

Beruang sarkas tertekan, panjat sangkar untuk larikan diri

FOTO REUTERS

SHANDONG, 15 Februari- Pengunjung sebuah persembahan sarkas di China berdepan detik cemas apabila seekor beruang bertindak memanjat sangkar dipercayai cuba melarikan diri.

Kejadian dirakam di Chengnan Temple Fair Circus dekat bandar Dongying di sini menunjukkan haiwan itu dan jurulatihnya berada atas pentas pada 10 Februari lalu.

Sejurus selepas persembahan dimulakan, beruang terbabit menghampiri sangkar besi dan mula memanjatnya sehingga menimbulkan reaksi takut daripada penonton.

Jurulatihnya berjaya menarik semula haiwan tersebut ke dalam sangkar, namun ia masih cuba memanjat dari sudut berbeza berulang kali.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Sehari selepas kejadian, pihak sarkas menyatakan bahawa beruang berkenaan mungkin mengalami tekanan akibat perjalanan yang jauh.

Tambahnya, semua persembahan membabitkan haiwan liar digantung buat sementara waktu. -Reuters

1502 BD BERUANG SARKAS CUBA LARI 2
FOTO REUTERS

SITI AISHAH BINTI MD ISA