fb fb fb fb fb

Berlian 2,492 karat ditemui di Botswana

Foto AFP

JOHANNESBURG, 22 Ogos- Berlian luar biasa 2,492 karat ditemui di Lombong Berlian Karowe di Botswana, sebuah negara yang kaya dengan mineral di selatan Afrika, lapor Agensi Anadolu.

Menurut kenyataan daripada syarikat perlombongan Kanada Lucara Diamond Corp, berlian itu boleh menjadi antara berlian kasar terbesar yang pernah digali.

"Penemuan ini menekankan reputasi Karowe sebagai aset bertaraf dunia dan mengesahkan semula kedudukan Lucara sebagai pengeluar terkemuka berlian besar dan luar biasa. Berlian terbaru ini adalah antara penemuan penting lain yang mengagumkan daripada lombong itu, termasuk Sewelo 1,758 karat dan Lesedi La Rona 1,109 karat," katanya.

Botswana terkenal kerana menghasilkan berlian besar. Pada 2019, berlian kedua terbesar dalam sejarah ditemui di Botswana oleh Lucara Diamond. Batu 1,758 karat yang tidak pecah itu telah digali melalui teknologi litar XRT terkini yang ditauliahkan di Botswana pada 2015.

Pada 2015, satu lagi berlian 1,109 karat yang tidak pecah yang dipanggil Lesedi La Rona telah digali di Lombong Karowe. Ia dikenali sebagai yang kedua terbesar di dunia pada masa itu.

Permata itu telah dijual pada 2017 kepada tukang emas London dengan harga AS$53 juta.

Berlian terbesar di dunia, seberat 3,106 karat, ditemui di Afrika Selatan pada 1905.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM