GAZA, 8 September - Pemindahan paksa penduduk Gaza seperti yang diarahkan rejim Zionis merupakan tindakan tidak bermoral yang mencabar undang-undang antarabangsa.
Lebih biadab apabila rejim pimpinan Benjamin Netanyahu itu mengeluarkan arahan tersebut selepas Gaza telah mengalami kebuluran selama lebih dua minggu selain dibom tanpa henti.
Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan merangkap Penyelaras Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher mengakui masa kian suntuk untuk menghalang krisis kebuluran merebak pada skala lebih besar.
“Terdapat ruang waktu yang sempit sehingga akhir September untuk menghalang kebuluran daripada merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis. Ruang itu kini semakin tertutup,” katanya.
Fletcher dalam pada itu menyifatkan tindakan keji Israel telah melampaui batas dengan tindakan segera perlu dilaksanakan.
“Benarkan bantuan kemanusiaan masuk tanpa halangan dan pada skala yang mampu kami salurkan.
"Lindungi orang awam, laksanakan langkah-langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Bebaskan tawanan dan bebaskan rakyat Palestin yang ditahan sewenang-wenangnya dan seterusnya lakukan gencatan senjata,” tambahnya.
Terdahulu, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mengesahkan kebuluran telah berlaku di utara Gaza dan menjangkakan ia akan merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis menjelang akhir September.
Sejak pengisytiharan itu, seramai 109 orang penduduk termasuk 23 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran.-Bernama