fb fb fb fb fb

Belum tiba masa bawa Rusia sertai semula G7- Trump

Presiden AS, Donald Trump / REUTERS

WASHINGTON, 7 Mei- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk mempertimbang kemasukan semula Rusia ke dalam G7.

Kenyataan Trump itu dilihat bertentangan dengan pendirian beliau Februari lalu, di mana beliau pernah menyuarakan hasrat untuk mengembalikan Rusia ke dalam kumpulan tersebut, sambil menyifatkan penyingkiran negara itu dahulu sebagai satu kesilapan besar.

“Masa tu Rusia adalah ahli G8. Saya rasa masa tu saya belum betul-betul aktif dalam politik. Tapi saya tahu Obama memang tidak suka Rusia dan akhirnya mereka buang Rusia daripada kumpulan itu.

"Saya rasa itu keputusan yang sangat bodoh sebab, secara asasnya, ia cuma sekumpulan pemimpin yang duduk satu meja untuk berbincang. Saya sendiri pernah duduk bersama mereka banyak kali dan disitulah kita akan mula kenal masing-masing,” kata Trump.

Beliau turut berpendapat bahawa jika Rusia masih kekal dalam G8 ketika itu, mungkin perang di Ukraine tidak akan tercetus.

“Saya rasa kalau Rusia masih dalam G8 masa tu, kita tidak akan saksikan perang yang gila dan berdarah macam sekarang. Keputusan singkirkan Rusia itu diterajui oleh Trudeau dan Obama.

"Saya percaya jika Rusia masih dalam kumpulan tu, benda ni tidak akan terjadi. Mereka buang Rusia, dan sebab itu mungkin berjuta orang mati," kata Trump.

Rusia disingkirkan daripada G8 pada 2014 susulan tindakan negara itu menceroboh Crimea, yang mencetuskan ketegangan diplomatik besar antara Moscow dan Barat.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE