fb fb fb fb fb

Belarus lulus hukuman mati kepada pengkhianat negara

(FOTO AFP)

MINSK, 10 Mac-Pemimpin Belarus pada Khamis menandatangani rang undang-undang yang memperkenalkan hukuman mati bagi pegawai negara dan anggota tentera yang disabitkan dengan pengkhianatan tahap tinggi.

Memetik laporan dw.com, pindaan kepada kanun jenayah negara disahkan oleh Alexander Lukashenko membayangkan hukuman mati bagi pegawai dan anggota tentera yang dianggap telah menyebabkan "kerosakan yang tidak boleh diperbaiki" kepada keselamatan Belarus.

Undang-undang baharu itu adalah sebahagian daripada perubahan kepada kanun jenayah yang bertujuan untuk mengukuhkan perjuangan Belarus menentang jenayah pelampau (pengganas) dan orientasi antinegara.

Rang undang-undang yang ditandatangani Lukashenko memperuntukkan hukuman untuk "propaganda keganasan, mencemarkan nama baik angkatan tentera dan unit separa tentera. Selain itu, undang-undang tersebut mengandungi pelanggaran peraturan untuk melindungi rahsia negara, mempermainkan undang-undang serta menindas sekutu utama Belarus, Rusia.

Rusia meluluskan undang-undang yang sama selepas ia menyerang Ukraine lebih setahun lalu.

Belarus tidak menghantar tenteranya ke Ukraine, tetapi membenarkan Rusia menggunakan wilayahnya sebagai tapak pelancaran operasinya pada Februari 2022.

Selain itu, Belarus turut membenarkan pesawat pejuang dan dron Rusia menggunakan ruang udaranya untuk serangan ke atas Ukraine.
Rusia juga telah mengekalkan tentera dan senjata di wilayah Belarus.

Pengesahan undang-undang baharu itu susulan serangan ke atas pesawat pejuang Rusia di pangkalan udara di luar ibu negara Belarus pada 26 Februari lalu.

Belarus adalah satu-satunya negara di Eropah yang tidak melarang hukuman mati, yang kepada pesalah yang disabitkan dengan pembunuhan atau keganasan.

Lukashenko telah memerintah Belarus dengan kuku besi selama hampir tiga dekad.

Pentadbiran Presiden Belarus itu menyekat perbezaan pendapat dalam kalangan rakyat.

Pihak berkuasa Belarus melancarkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang membantah pemilihan semula Lukashenko dalam undian Ogos 2020. Tindakan tersebut dikecam pembangkang dan Barat sebagai satu penipuan.

Isnin lalu, mahkamah Belarus menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada pencabar utama Lukashenko dalam pilihan raya, iaitu ketua pembangkang, Sviatlana Tsikhanouskaya yang dibuang negeri, atas tuduhan termasuk berkomplot untuk menggulingkan kerajaan.

Sebelum ini, peguam bela hak asasi manusia yang paling terkemuka di negara itu dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2022, Ales Bialiatski, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.-dw.com


( Presiden Belarus, Aleksandr Lukashenko/ Foto AFP)

Media Baharu