SEOUL, 13 April – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol bakal berdepan perbicaraan jenayah pertamanya pada Isnin atas pertuduhan insurksi susulan cubaan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera Disember lalu yang mencetuskan krisis politik negara itu.
Cubaan Yoon menggantung aktiviti politik dan menyekat kebebasan media pada 3 Disember lalu bagaimanapun hanya bertahan selama enam jam selepas ditolak melalui undian ahli Parlimen pembangkang.
Tindakan tersebut membawa kepada pemecatan beliau oleh Dewan Negara Korea Selatan, sebelum Mahkamah Perlembagaan mengesahkan penyingkiran rasminya daripada jawatan Presiden pada 4 April lalu.
Walaupun kehilangan segala keistimewaan sebagai Presiden, Yoon, 64, tetap perlu menjalani perbicaraan atas pertuduhan insurksi yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati jika sabit kesalahan.
"Kini saya kembali menjadi rakyat biasa Republik Korea, dan saya akan mencari laluan baharu untuk terus berkhidmat kepada negara dan rakyat," katanya dalam kenyataan selepas meninggalkan kediaman rasmi Presiden pada Jumaat.
Yoon sebelum ini mencatat sejarah sebagai Presiden Korea Selatan pertama yang ditahan ketika masih memegang jawatan selepas penahanannya dalam serbuan pihak berkuasa pada Januari lalu.
Sementara itu, Pilihan Raya Khas bagi memilih Presiden baharu Korea Selatan dijadualkan berlangsung pada 3 Jun depan.
Negara itu kini ditadbir oleh Pemangku Presiden, Han Duck-soo. - AFP