BRAZIL, 24 Disember - Hakim Mahkamah Agung Brazil, Alexandre de Moraes, membenarkan bekas Presiden Jair Bolsonaro menjalani prosedur pembedahan bagi merawat hernia pada Khamis (25 Disember).
Minggu lepas, Moraes membenarkan Bolsonaro meninggalkan penjara bagi tujuan pembedahan, namun tarikh prosedur belum ditetapkan.
Peguam bekas presiden itu memohon pada Selasa agar beliau dimasukkan ke Hospital DF Star di Brasilia untuk menjalani ujian pada Rabu sebelum menjalani pembedahan keesokan harinya.
Bolsonaro, yang pernah ditikam di bahagian abdomen semasa kempen pilihan raya 2018, mempunyai sejarah beberapa kali dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan berkaitan dengan serangan tersebut.
Pada Selasa, Bolsonaro membatalkan temu bual yang dirancang dengan media Metropoles atas alasan kesihatan, lapor pihak media tersebut. Moraes sebelum ini membenarkan beliau untuk memberi temu bual dari penjara.
"Beliau akan dimasukkan ke hospital untuk pembedahan -- ada hari beliau bangun dalam keadaan sihat, dan ada hari dalam keadaan kurang sihat. Hari ini mungkin salah satu hari beliau bangun dengan rasa kurang sihat," kata Flavio dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.- REUTERS