fb fb fb fb fb

Bekas PM Oli dilantik ketuai kerajaan gabungan baharu Nepal

KP Sharma Oli/FOTO REUTERS

KATHMANDU, 14 Julai - KP Sharma Oli, pengerusi Parti Komunis Nepal (Unified Marxist Leninist) (CPN-UML) dan bekas perdana menteri, dilantik pada petang Ahad untuk mengetuai kerajaan gabungan baharu.

"Presiden telah melantik pengerusi CPN-UML, Oli sebagai perdana menteri di bawah Perkara 76(2) Perlembagaan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden.

Oli dan beberapa menteri akan memulakan tugas pada pagi Isnin, kata penasihat akhbar kepada Presiden Ram Chandra Poudel, Kiran Pokharel, kepada Xinhua.

Pada petang Jumaat, Poudel menggesa parti-parti politik yang menguasai majoriti di Dewan Perwakilan untuk membentuk gabungan baharu menjelang petang Ahad, dan Oli mempertaruhkan tuntutan itu beberapa jam kemudian dengan sokongan parti pembangkang utama Kongres Nepal.

Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal kehilangan mandat untuk kekal berkuasa pada petang Jumaat selepas beliau kehilangan undi percaya di dewan rendah, selepas CPN-UML keluar dan menarik balik sokongan kepada kerajaan gabungan beliau pada 3 Julai setelah membentuk perikatan dengan Kongres Nepal untuk gabungan baharu. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF