DHAKA, 17 November - Mahkamah Bangladesh pada Isnin menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas perdana menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina atas jenayah kemanusiaan.
Hasina didapati bersalah atas tiga pertuduhan termasuk hasutan, arahan untuk membunuh, dan kegagalan mencegah kekejaman tersebut, kata Hakim Mahkamah, Golam Mortuza Mozumder.
“Semua unsur… yang membentuk jenayah terhadap kemanusiaan telah dipenuhi,” kata hakim Golam Mortuza Mozumder kepada mahkamah yang penuh sesak di sini.
“Kami telah memutuskan untuk mengenakan hanya satu hukuman iaitu hukuman mati", tegas Mozumder.
Keputusan itu sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Bangladesh dan disiarkan secara langsung di televisyen.
Keputusan itu hadir menjelang pilihan raya pertama sejak penggulingannya pada Ogos 2024.
Ketua pendakwa raya Tajul Islam, yang bercakap sebelum keputusan diumumkan, berkata beliau berharap “kehausan rakyat terhadap keadilan akan dipenuhi, dan keputusan berkenaan akan menamatkan jenayah terhadap kemanusiaan”.
Pada perbicaraan berkenaan, pendakwa raya mengemukakan lima pertuduhan, termasuk kegagalan mencegah pembunuhan, yang dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan di bawah undang-undang Bangladesh.
Perbicaraan itu telah mendengar testimoni selama berbulan-bulan secara 'in absentia', yang memperincikan tindakan Hasina didakwa mengarahkan pembunuhan besar-besaran.
Hasina, 78, mengingkari perintah mahkamah supaya beliau kembali dari India untuk menghadiri perbicaraan mengenai dakwaan beliau telah mengarahkan tindakan keras terhadap kebangkitan yang dipimpin pelajar sehingga menggulingkannya.
Hasina menyifatkan perbicaraan itu sebagai “ jenaka perundangan”.
Bekas Perdana Menteri Bangladesh itu diberikan seorang peguam yang dilantik oleh negara untuk perbicaraan tersebut tetapi beliau enggan mengiktiraf kuasa mahkamah dan menolak semua pertuduhan.
Sementara itu, bekas menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal, yang turut melarikan diri, juga dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Bekas ketua polis Chowdhury, Abdullah Al-Mamun, yang hadir di mahkamah turut mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.
Bangladesh berada dalam kemelut politik sejak berakhirnya pemerintahan autokratik Hasina.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata kira-kira 1,400 orang terbunuh ketika Hasina cuba mengekalkan kuasanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, berkata bahawa keputusan yang diumumkan terhadapnya adalah “berat sebelah dan bermotifkan politik.
Dalam kenyataannya, Hasina menyifatkan hukuman mati itu sebagai “tidak wajar” dan menafikan sebarang pembabitannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan.
Pada Isnin, sebuah mahkamah Bangladesh menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Perdana Menteri itu, menamatkan perbicaraan selama beberapa bulan yang mendapati beliau bersalah kerana mengarahkan tindakan keras yang membawa maut terhadap pemberontakan pelajar tahun lalu.
Keputusan itu merupakan tindakan undang-undang paling dramatik terhadap bekas pemimpin Bangladesh sejak negara itu merdeka pada 1971 dan berlaku beberapa bulan sebelum pilihan raya parlimen yang dijangka diadakan pada awal Februari 2026. - AFP