ANKARA, 17 November - Kumpulan pemberontak Kurdish, Parti Pekerja Kurdistan (PKK), pada Isnin mengumumkan bahawa pasukan itu telah berundur dari kawasan sempadan utama di utara Iraq.
Tindakan tersebut merupakan langkah untuk memperkukuhkan proses damai dengan Turkiye.
Pengunduran dibuat enam bulan selepas PKK secara rasmi meninggalkan perjuangan bersenjata menentang Turkiye sekali gus menamatkan konflik selama empat dekad yang meragut kira-kira 50,000 nyawa.
“Sejak petang 16 November, pasukan kami… di wilayah Zap telah berundur,” kata jurucakap kumpulan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Firat.
Pada masa ini risiko konflik di kawasan tersebut telah dihapuskan sepenuhnya,” sambil menyifatkan pengunduran dari Zap sebagai “komitmen” PKK terhadap usaha memulihkan hubungan dengan Ankara.
“Kami percaya langkah baharu ini akan membantu penyelesaian isu Kurdish serta menyokong keamanan dan pendemokrasian Turki", tambahnya.
Ankara memulakan rundingan tidak langsung dengan PKK lewat tahun lalu, dengan pengasasnya yang dipenjarakan, Abdullah Ocalan menggesa kumpulan berkenaan supaya meletakkan senjata dan memilih cara demokrasi untuk memperjuangkan hak Kurdish.
Selepas mengumumkan pembubaran mereka secara rasmi pada Mei, PKK mula memusnahkan senjata pada Julai dan Oktober serta memulakan pengunduran sepenuhnya dari wilayah Turki ke utara Iraq.
Turki telah menubuhkan sebuah jawatankuasa parlimen merentas parti bagi menyediakan asas proses damai dan rangka undang-undang untuk integrasi politik PKK serta para pejuangnya.
PKK sejak sekian lama mempunyai pangkalan di wilayah Zap di utara Iraq, yang pernah menjadi sasaran operasi darat tentera Turki pada 2008.
Tentera Turki secara konsisten menumpukan operasinya di kawasan Zap, yang menyaksikan pertempuran sengit bertahun-tahun lamanya, meskipun keadaan muka bumi yang bergunung-ganang menyukarkan pergerakan.
PKK berkata mereka kini mahu meneruskan perjuangan secara demokratik untuk mempertahankan hak minoriti Kurdish, selaras dengan seruan bersejarah Ocalan pada Februari, yang mengetuai proses itu dari sel penjaranya di pulau Imrali berhampiran Istanbul.
Tokoh berusia 76 tahun itu telah menjalani hukuman penjara seumur hidup sejak 1999. - AFP