JAKARTA, 17 November - Sekurang-kurangnya dua maut, dan dua lagi cedera manakala 27 yang lain dilaporkan hilang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan susulan kejadian tanah runtuh yang melanda daerah Banjarnegara, di Jawa Tengah pada Sabtu.
Menurut jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari, sebanyak 30 rumah dan kawasan pertanian turut dilaporkan rosak dalam kejadian itu.
"Hujan lebat dan struktur tanah yang tidak stabil berkemungkinan mencetuskan kejadian runtuhan yang merosakkan sawah padi, kebun serta 30 rumah," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam insiden berasingan, satu lagi kejadian tanah runtuh di wilayah Cilacap mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang, dan tujuh dikhuatiri hilang.
Ini berdasarkan data terbaharu yang disahkan pada Isnin, menyaksikan tiga lagi mayat berjaya ditemukan dan dibawa keluar oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) gabungan.
Menurut pihak berkuasa, kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat berterusan di dua kawasan di wilayah Jawa Tengah minggu lalu itu menyebabkan sekurang-kurangnya 18 kematian, dengan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan pasukan SAR gabungan, pemerintah daerah, TNI, POLRI serta sukarelawan tempatan.
BNPB akan terus mengemas kini perkembangan dari semasa ke semasa berhubung operasi pencarian, penilaian kerosakan, serta tindakan balas bencana di kawasan terjejas.
Agensi cuaca Indonesia memaklumkan bahawa musim hujan di negara itu bermula pada September dan dijangka berlanjutan hingga April tahun depan, sekali gus meningkatkan risiko hujan ekstrem serta kejadian banjir. - REUTERS