(Pengiraan undiĀ semasa pusingan pertama pilihan raya presiden Somalia, di Mogadishu, Somalia, 15 Mei 2022/FOTO REUTERS)
MOGADISHU, 16 Mei-Bekas pemimpin Somalia, Hassan Sheikh Mohamud yang pernah menerajui pentadbiran negara ini dari 2012 hingga 2017, kembali memenangi Pilihan Raya Presiden, semalam.
Pemilihan itu membabitkan pengundian oleh Ahli Parlimen dan berlangsung di kompleks lapangan terbang yang dikawal ketat.
Hassan, 66, menewaskan penyandangnya, Mohamed Abdullahi Mohamed, dengan keputusan 214-110 undi dalam saingan pusingan ketiga yang disahkan sekitar waktu tengah malam.
"Kita perlu terus bergerak ke depan. Kita tidak perlu berdendam. Tiada balas dendam," kata Hassan dalam ucapan kemenangannya di pekarangan lapangan terbang di Mogadishu yang dikawal pasukan pengaman Kesatuan Afrika (AU).
(Hassan (kanan) berpegangan tangan dengan Mohamed selepas memenangi pemilihan Presiden Somalia/FOTO REUTERS)
Kemenangan Hassan diraikan penyokong yang turun ke jalanan di Mogadishu sambil bersorak dan melepaskan tembakan ke udara.
Bagaimanapun, Hassan yang juga bekas pejuang pendidikan serta aktivis keamanan, berdepan tugas mencabar di negara memiliki 15 juta penduduk ini yang sedang bergelut dengan kemarau terburuk dalam tempoh empat dekad serta konflik berlarutan sejak 1991.
-REUTERS